AYER KEROH: Pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei, mengetuai senarai penerima darjah dan bintang kebesaran Melaka, dalam kalangan ahli serta bekas jaguh sukan tempatan sempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, esok. Chong Wei bakal dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira. Selain itu, bekas raja pecut Asia, Rabuan Pit yang juga anak kelahiran Melaka, juga menerima pengiktirafan apabila menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM), membawa gelaran Datuk. Ketua pasukan Melaka United selaku penjaring terbanyak Liga Perdana, Ilija Spasojevic yang berjaya membawa nama pasukan bola sepak Melaka ke persada juara Liga Perdana akan menerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM). Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Naim Abu Bakar, berkata anugerah berkenaan adalah sebagai menghargai jasa mereka yang berjuang membawa nama Melaka dan Malaysia ke peringkat tertinggi dalam bidang sukan. Katanya, anugerah itu juga mampu memberi semangat kepada ahli sukan yang lain untuk terus beraksi, sekali gus membawa kejayaan demi negeri dan negara tercinta. "Saya mengucapkan tahniah kepada ahli sukan yang terpilih menerima anugerah kebesaran negeri kali ini," katanya.
No comments:
Post a Comment